:: LUARBIASAkan yang BIASA ::


SELAMAT DATANG diucapkan kepada semua pengunjung SKSI Online. Paparan terkini berkaitan aktiviti di sekolah akan diupload mengikut kesesuaian masa. Tinggalkan jejak anda di ANJUNG BICARA! Terima kasih.

Kunjungilah PORTAL RASMI SK SERI INTAN. Klik di sini


Thursday, March 12, 2009

Pengetua Dan Guru Besar Sekolah Boleh Rotan Pelajar

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Pengetua dan guru besar sekolah boleh merotan pelajar jika didapati terlibat dalam sebarang kes salah laku kerana ia terkandung di dalam Akta Pendidikan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata kuasa ada yang boleh diturunkan kepada guru lain itu, tetapi bagaimanapun perlu dilaksanakan mengikut cara yang ditetapkan iaitu tidak boleh dilakukan di tempat yang terbuka, mesti merekodkan kesalahan pelajar dan ada saksi ketika hukuman dilaksanakan.

"Kuasa merotan itu ada, dan ia boleh diturunkan kepada guru yang lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat menangani masalah penglibatan pelajar dalam jenayah di sini hari ini.

Gambar Hiasan

Mesyuarat itu diadakan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), pengarah pelajaran negeri dan ketua polis negeri. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Timbalan Pengerusi II MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Sebelum ini, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan menggesa agar hukuman rotan secara tertutup diaktifkan bagi menghukum pelajar yang terlibat dalam kejadian gengsterisme.

Sementara itu, Alimuddin berkata, ada empat tindakan yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam menangani kes salah laku di sekolah dan merotan adalah kaedah yang kedua, di mana yang pertama ialah memberi amaran kepada pelajar, dan yang ketiga adalah menggantung persekolahan pelajar sebelum kaedah berikutnya yang terakhir, buang sekolah.

Beliau juga berkata dari segi jumlah kes salah laku pelajar, didapati jumlahnya tidak besar dan menurun daripada 2.13 peratus (2006), 2.10 (2007) dan 2.08 (2008).

"Bagaimanapun, kami tidak boleh bertolak ansur dalam isu salah laku pelajar dan menjadi tanggungjawab sekolah untuk memperbetulkan keadaan pelajar agar tidak berlaku lagi kes sedemikian," katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata mesyuarat hari ini memutuskan agar aktiviti bersifat pendidikan seperti pameran, ceramah dan program pencegahan jenayah perlu diadakan di setiap negeri sebagai salah satu langkah menangani isu salah laku pelajar.

Katanya peruntukan RM200,000 diberikan kepada setiap negeri dan terpulang kepada jabatan pelajaran negeri serta ketua polis negeri untuk membincangkan jenis aktiviti yang boleh dilakukan di sekolah-sekolah bagi tujuan itu.

"Ini kerana setiap negeri mempunyai perbezaan berhubung isu salah laku pelajar, dan kami memberi kuasa kepada pengarah jabatan pelajaran negeri serta ketua polis negeri untuk membincangkan aktiviti dan langkah yang boleh dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing," katanya.

No comments: